MAHASISWA DAN TANGGUNGJAWAB MENGURUSKAN KAJAYAAN



Seorang sarjana pernah menyatakan; “Insan perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab.” Justeru, mahasiswa selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada mencambahbiakkan kesedaran tentang persoalan pokok ini dan seterusnya wajar bingkas bangun mengkoreksi diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di Akhirat.

Sering diperkatakan bahawa mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Golongan ini jugalah yang merupakan pelapis berjiwa kental yang akan menjadi aset penting untuk kelangsungan perjuangan bangsa dan agama. Jatuh bangunnya ummah di millennium mendatang banyak bergantung kepada kemandirian komuniti teras ini.

Kesarjanaan ilmu

Benarlah firman Allah SWT bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu (Surah Ar-Rahman:33). Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Malah, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologilah maka negara-negara maju khususnya Barat telah menjadi pendominasi dan pelopor kepada pelbagai lapangan kehidupan.

Lebih daripada itu, perlulah disematkan di sanubari bahawa segala label-label negatif yang terpaksa ditelan oleh mahasiswa hari ini seperti mahasiswa lesu, bisu, longlai dan sebagainya hanya dapat ditanggapi melalui tindakan yang positif, proaktif dan progresif. Mahasiswa tidak mampu bergerak mara ke hadapan dengan hanya berbekalkan idealisme dan semangat semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran bagi membolehkan ia direalisasikan dalam arus perdana dunia. Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan cerdik pandai yang terbilang. Jika kita telusuri kisah suci kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, kita akan dapati bahawa di sebalik keagungan kepimpinan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT, maka ilmu pengetahuan yang mampanlah menjadi rahsianya. Malah, sejarah kehidupan sarjana-sarjana Islam masa lampau seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ar-Razi, Jabir Ibn Khayyam dan sebagainya menjadi saksi akan kebenaran pernyataan ini.

Justeru, konsep kesarjanaan ilmu wajar menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap mahasiswa. Apa yang paling penting adalah pembelajaran bukanlah hanya untuk kelulusan peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk mendapat sekeping ijazah sahaja sebaliknya merupakan momentum ke arah memahami erti hidup yang sebenar. Setiap ilmu yang dipelajari wajarlah ditafsir mengikut kacamata ilmiah yang betul. Ini kerana makna kata belajar itu sendiri bolehlah disignifikasikan sebagai suatu proses pembinaan idea, penghayatan dan aplikasi ilmu. Sebagai hasilnya, hakikat akhir sesuatu proses belajar itu mampu menuntun mahasiswa ke landasan kebenaran.

Lebih daripada itu, adalah amat malang sekiranya suatu sistem pembelajaran itu bukan sahaja gagal, malah ianya melahirkan pelajar yang lemah berfikir, kurang kesedaran, ketandusan ilmu, bankrap idea dan muflis keintelektualan. Berbalik kepada mahasiswa di kampus. Salah satu pelan tindakan yang telah digariskan hasil konvensyen baru-baru ini ialah untuk menyelaraskan PNGK semua pimpinan mahasiswa iaitu 2.5 ke atas. Ia merupakan satu langkah awal yang efektif kerana para pemimpin mahasiswa merupakan role-model yang akan diteladani oleh mahasiswa lain. Semoga ia menjadi titik tolak yang akan mencanai kegemilangan pendidikan dalam usaha bersepadu untuk melahirkan universiti bertaraf dunia atau World Class University.

Ketrampilan Sahsiah

Menurut Islam, perkataan pendidikan atau tarbiyyah itu antara lain bermaksud suatu pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar dan teladan. Suatu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika ianya gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana hasil yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan sahaja merugikan tenaga, waktu dan wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa yang dihajati.

Selain kesarjanaan ilmu, konsep ketrampilan syakhsiah adalah satu lagi elemen penting yang perlu ada pada diri mahasiswa dalam mengurus kejayaan. Perangkaan serta statistik kebejatan sosial yang kian meruncing memperlihatkan bahawa kader-kader intelektual ini juga tidak terlepas daripada terlibat sama. Kepincangan dan keruncingan krisis moral seperti seks bebas, arak, sumbang mahram, hedonisme, penyalahgunaan dadah dan banyak lagi turut membuktikan bahawa penuntut institusi pengajian tinggi juga tidak begitu ampuh dari segi penghayatan budinya.

Falsafah Pendidikan Negara menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Merujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara yang merupakan roh, nadi dan dinamo penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan negara, saya melihat bahawa saranan YAB Perdana Menteri ini merupakan satu titik tolak dan satu kesinambungan ke arah melahirkan individu Muslim khususnya muda-mudi, remaja dan generasi muda yang syumul (komprehensif) dan kamil (sempurna).

Usaha yang sebegini penting amatlah perlu untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan masyarakat madani yang diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut amatlah penting agar segala cita-cita murni yang sering dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 mengikut ‘acuan sendiri’.

Kecemerlangan Kepemimpinan

Prof. Ungku A. Aziz pernah menyebut; “Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.” Maka, sebenarnya teras kelangsungan kecemerlangan sesebuah bangsa itu banyak bergantung harap kepada pemimpin berkaliber laksana pelita cahaya yang akan menyuluh-sinarkan lorong perjalanan bangsa dan agamanya. Seorang pujangga Islam pula pernah bermadah; “Pemuda akan menjadi bangsa kita pada masa akan datang. Pemuda jugalah yang akan menyediakan jiwanya untuk mati atau dibunuh mati di jalan Allah s.w.t. Oleh itu, pemuda mesti mempersiapkan dirinya untuk hidup demi untuk mengembalikan kegemilangan Ummah pada masa akan datang sehingga dirinya syahid atau Islam kembali menang!”

Universiti merupakan satu medan atau pusat untuk melatih kepimpinan mahasiswa. Kita telah melihat bagaimana kebanyakan pemimpin negara malah dunia kini termasuk YAB Perdana Menteri juga merupakan bekas-bekas aktivis yang aktif ketika di kampus. Lebih daripada itu, mereka juga merupakan mantan pimpinan kepada pelbagai persatuan pelajar yang sering kali menjadi agen check and balance dan pembawa suara masyarakat yang berkesan. Oleh itu, mahasiswa yang ada hari ini wajar mempertajamkan segala kebolehan kepimpinan sama ada soft skills atau hard skills bagi mengelakkan ketandusan atau kepupusan pemimpin berkaliber di kemudian hari.

Agen Pengislah Masyarakat

Mantan Menteri Pendidikan,Tan Sri Musa Mohamad pernah berkata bahawa pelajar kini diberi kebebasan bersuara dengan syarat ia berdasarkan kepada ilmu dan pengetahuan yang mendalam serta tidak melampaui batas, asalkan ia bukan tuduhan melulu dan dilaksanakan dalam ruang lingkup tertentu. Justeru, mahasiswa harus mampu menjadi pemberi ilham, pencetus penafsiran dan qudwah hasanah kepada masyarakat seluruhnya. Pendek kata mereka harus bertindak sebagai agent of change atau agen pengislah masyarakat. Ini bagi memastikan segala kualiti diperolehi yang boleh menyumbang kepada pembangunan insan tidak hanya ternoktah di titik sifar. Segala pengalaman berharga, teori dan aktiviti membina yang telah dilalui wajar untuk dikongsi dengan masyarakat khususnya muda-mudi dan remaja sebagai pemangkin ke arah pembaikan jatidiri serta penyuluh lebuh raya kehidupan mendatang.

Selain itu, mahasiswa juga haruslah mampu menjadi transformer yang bisa menginjak naikkan paradigma berfikir, meninggikan kualiti ilmu serta memurnikan institusi ulama dan umara. Pelbagai usaha yang bersifat realistik, progresif dan bukan hanya konvensional serta boleh menjadi enkoder ke arah pengharmonian dan pemugaran kembali nilai-nilai murni yang kian sirna dalam masyarakat di seantero pelusuk hari ini. Saya tertarik untuk berkongsi tentang kurikulum yang diamalkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bagi merealisasikan visinya iaitu Islamisasi, Integrasi, Keantarabangsaan dan Kecemerlangan Bersepadu, UIAM telah memperkenalkan pelbagai pakej seperti Sistem Halaqah, mewajibkan penyertaan sekurang-kurangnya 15 peratus pelajar antarabangsa dalam semua aktiviti dan mengaktifkan partisipasi pelbagai pihak dalam setiap persatuan. Selain itu, pelbagai program sama ada bersifat kepimpinan, keusahawanan, kaunseling, khidmat masyarakat, kebudayaan, tarbiyyah, hubungan luar turut dijalankan ke arah melahirkan mahasiswa yang boleh berperanan sebagai pengasuh, petunjuk, pembimbing, pemandu dan penasihat selepas bergraduat.

Perpaduan Warga Kampus

Seterusnya, antara perkara yang telah digariskan oleh Perdana Menteri dalam konvensyen tersebut ialah mengatasi masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sering kedengaran bahawa pencapaian pelajar bukan Bumiputera khususnya Cina adalah lebih terkehadapan berbanding pelajar Bumiputera. Walaupun mungkin pernyataan ini tidak selalunya benar, tetapi langkah-langkah bersepadu perlu diadakan untuk memastikan perubahan minda dan sikap dapat dijana. Terdapat pelbagai mind-set yang penulis rasakan wajar untuk dinyahkan dan dibakulsampahkan oleh pelajar Bumiputera khususnya mahasiswa Melayu. Budaya-budaya negatif seperti spoon-fed, terlalu bergantung – budaya tongkat, pesimis, warga subsidi, sikap sambil lewa, budaya cukup makan, tidak mahu cari lebih, inferiority complex dan seumpamanya haruslah dibuang dari kamus kehidupan mahasiswa. Sebaliknya, sikap-sikap yang baik seperti rajin, berusaha gigih, berkeyakinan diri, berfikiran positif, optimistik dan banyak lagi wajar ditumbuh-suburkan agar mahasiswa Bumiputera dan bukan Bumiputera akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dari segi kelulusan akademiknya.

Semangat Juang dan Kesedaran Ummah

Selain itu, sebagai membuktikan bahawa mahasiswa merupakan mata rantai-mata rantai perjuangan, mahasiswa wajar untuk mengikuti dan memberikan pandangan di dalam segala isu dan perkembangan yang berlaku sama ada di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Semangat juang dan kesedaran Ummah patut diberi penekanan. Usaha-usaha yang mampu menjadi kapasitor pengaktif ke arah kebangkitan bangsa, negara dan Ummah wajar diteruskan. Ini penting untuk melahirkan golongan mahasiswa yang berpandangan progresif dan saintifik serta bersedia menjunjung aspirasi negara dan seterusnya mampu memainkan peranan bermakna di dalam pola politik, sosial dan ekonomi dunia.

Hasrat sebegini amatlah perlu disegerakan untuk mengelakkan lahirnya mahasiswa bersikap jumud dan beku yang boleh mengundang kepada sindrom kejahilan, daya fikir yang sangat kerdil dan sempit serta terkesima dengan arus perubahan di sekelilingnya. Kesedaran tentang perihal Ummah seharusnya menjadi agenda penting ke arah mewujudkan masyarakat yang tidak statik atau terus berteleku di takuk lama. Dinamisme di dalam konservatisme sepatutnya menjadi dasar penting kepada semua graduan masa kini. Di sana sini kita melihat tiada hari yang berlalu tanpa berlaku jenayah kemanusiaan. Perang, kolonialisme, pemerkosaan hak asasi dan penganiayaan terus meronai kehidupan. Perang meletus di pelbagai sudut dunia, kolonialisme cara baru telah dizahirkan, pemerkosaan hak asasi manusia semakin bermaharajalela dan penganiayaan tidak berperikemanusiaan kian berleluasa. Sebaliknya, kesucian dan keluhuran warna-warna indah kemakmuran telah dinodai serta dilacuri semaksimanya. Justeru, di dalam kecelaruan dan kebobrokan masyarakat hari ini, satu transformsi kepimpinan yang lebih telus dan tidak hipokrit perlu dipastikan menguasai dunia. Pentadbiran yang kuku besi lagi keras kepala, ego lagi angkuh serta penindas lagi zalim wajar ditumbangkan. Satu kepimpinan yang memperjuangkan keamanan sejagat, keadilan sosial dan kebajikan rakyat harus dipilih menerajui manusia moden hari ini.

Penutup

Secara konklusinya, di dalam mengurus kejayaan pelbagai aspek yang saling tidak kurang pentingnya berbanding yang lain hendaklah dipakubesikan di benak dan sanubari mahasiswa. Sudah tiada masa untuk kita terus beretorika, bertegang leher dan berkering tekak berkonvensyen tanpa pengaplikasian resolusi menjadi realiti. Ingatlah, jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi yang beraksi di tika ini.

Dipetik daripada http://muhtarsuhaili.wordpress.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "MAHASISWA DAN TANGGUNGJAWAB MENGURUSKAN KAJAYAAN"

Post a Comment