TIPS MENGENALI DIRI SENDIRI MELALUI TARIKH LAHIR

one menulis "Tip Mengenal Diri Sendiri Melalui Tarikh Lahir Dari
Dr.Fadzilah Kamsah.

1. Pemimpin
2. Lembut
3. Kemas (Cerewet)
4. Rajin
5. Boleh berbincang
6. Angin
7. Patuh
8. Bisnes
9. Glamour



Contoh: 20 05 1981

2 + 0 = 2

Maka kotak pertama adalah 2..
Kemudian campurkan kesemua nombor..

2 + 0 + 0 + 5 + 1 + 9 + 8 + 1 = 26

Kemudian hasil campur yang lebih dari 9 akan dicampur lagi seperti:

2 + 6 = 8

Maka kotak kedua adalah 8..
Selepas itu kotak pertama akan dicampur ngan kotak kedua

2 + 8 = 10

Oleh kerana hasil campur lebih dari 9 maka dicampur lagi

1 + 0 = 1

Maka kotak ketiga ialah 1..
hasilnya..

2: Lembut
8: Bisnes
1: Pemimpin

Maka anda sudah cerminkan diri anda mungkin sifat-sifat ini ada dalam
diri anda dan mana tahu mungkin suatu hari nanti dengan sifat ini anda
akan menjadi seorang yang berguna..

Dipetik daripada http://asamboi.org/asamv4

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

RAHSIA DI SEBALIK WARNA - KENALI WATAK ANDA MELALUI WARNA

Adakah anda mempunyai WARNA kegemaran? Warna apakah yang menjadi kegemaran anda? BIRU? MERAH? HIJAU? KUNING? HITAM? PUTIH?

Sedarkah anda bahawa warna yang menjadi kegemaran itu sebenarnya sedikit sebanyak menggambarkan sikap dan watak anda.

Menurut kajian oleh pakar psikologi mendapati warna mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam perwatakan dan sikap seseorang.

Ahli fisiologi dan psikologi menjelaskan ada 4 warna primer :

1. MERAH
2. HIJAU
3. KUNING
4. BIRU

Walaupun tidak diketahui secara pasti mengapa orang-orang menyukai warna dan kombinasi warna tertentu. Tetapi yang jelas, setiap warna mempunyai karektor atau sifat yang berbeza-beza. Bahkan sejak dahulu lagi, warna sememangnya diketahui mempunyai pengaruh terhadap manusia.

Kini, penggunaan pengaruh psikologi yang ada pada warana telah dimanfaatkan secara meluas dalam dunia automotif, peragaan pakaian, permainan dan sebagainya.

Baik, mari kita lihat apakah RAHSIA yang ada disebalik warna-warna ini.

* MERAH

Warna ini melambangkan keadaan psikologi yang mengurangkan tenaga, mendorong makin cepatnya denyutan nadi, menaikkan tekanan darah dan mempercepatkan pernafasan. Warna ini mempunyai pengaruh produktiviti, perjuangan, persaingan dan keberahian.

1. Merah Terang :
Warna ini melambangkan kekuatan kemahuan atau cita-cita. Sifatnya : Agresif, Aktif, Garang. Pengaruhnya : Berkemahuan keras, penuh gairah, dominasi, kejantanan.

2. Merah Jambu :
Warna ini melambangkan romantik, feminim. Warna ini mempunyai sifat mendorong ke arah kepasrahan, penyerahan, kesempurnaan, keayuan dan kesantunan.

* BIRU

Warna ini melambangkan ketenangan yang sempurna. Mempunyai kesan menenangkan pada tekanan darah, denyutan nadi, dan tarikan nafas.

1. Biru Tua :
Warna ini melambangkan perasaan yang mendalam. Sifatnya : Konsentrasi, kooperatif, cerdas, kejujuran dan patriotik.
Pengaruhnya : Tenang, Bijaksana, Tidak Mudah Tersinggung, Ramai kawan.

2. Biru Muda :
Warna ini melambangkan kesungguhan cita-cita dan penuh keazaman. Sifatnya : Bertahan, Pelindung, Tidak Berubah Fikiran.
Pengaruhnya : Keras Kepala, Teguh, Sering Bangga Diri, Berpendirian tetap.

* KUNING

Warna ini melambangkan kegembiraan. Warna ini mempunyai sifat : Selamba, Santai, Tenang dan tidak terkesan dengan masalah. Berubah-ubah tapi penuh harapan, mempunyai cita-cita setinggi langit dan semangatnya juga tinggi.

1. Kuning Terang :
Warna ini melambangkan sifat yang boleh berubah dengan mendadak. Sifatnya sederhana tetapi unik. Sifatnya : Bertolak ansur, Berhati-hati, Menonjol.
Pengaruhnya : Berubah-ubah sikap, berwawasan, dermawan, tidak mudah percaya pada orang.

* HIIJAU

Warna ini melambangkan adanya suatu keinginan, ketabahan dan keteguhan hati. Mempunyai keperibadian yang tegas, berprinsip dan berkuasa. Warna ini mempunyai sifat : meningkatkan rasa bangga, perasaan lebih hebat dan mengatasi orang lain. Orang yang menyukai warna ini umumnya suka dipuji, mudah menasihati orang lain.

* KELABU & HITAM

1. KELABU :
Warna ini tidak menunjukkan makna yang jelas. Tidak terang dan ia dikategorikan sebagai unik dan sukar dikaitkan kepada kecenderungan psikologi. Warna ini sifatnya lebih kepada NEUTRAL.

2. HITAM :
Warna ini melambangkan kesedihan dan keseorangan. Ianya memberi kesan kehampaan, kematian, kegelapan, kebinasaan, kerosakkan dan kepunahan.

* COKLAT & UNGU

1. COKLAT :
Warna ini seringkali menunjukan ciri-ciri : suka persaingan, tidak suka beralah, kurang toleran, sukar bertolak ansur, dan mempunyai prasangka terhadap kesejahteraan dan kebahagian masa depan.

2. UNGU :
Warna ini adalah campuran warna merah dan biru yang melambangkan sifat unik hasil campuran kedua-dua sifat warna tersebut. Perpaduan antara keintiman dan kemesraan, erotik, dan berperasaan mendalam dan peka. Sifatnya sedikit kurang teliti tetapi penuh harapan dan positif.

Dipetik daripada http://pakarhowto.com/rahsia/rahsia-disebalik-warna-kenali-watak-melalui-warna.html

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

MAHASISWA DAN TANGGUNGJAWAB MENGURUSKAN KAJAYAAN



Seorang sarjana pernah menyatakan; “Insan perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab.” Justeru, mahasiswa selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada mencambahbiakkan kesedaran tentang persoalan pokok ini dan seterusnya wajar bingkas bangun mengkoreksi diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di Akhirat.

Sering diperkatakan bahawa mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Golongan ini jugalah yang merupakan pelapis berjiwa kental yang akan menjadi aset penting untuk kelangsungan perjuangan bangsa dan agama. Jatuh bangunnya ummah di millennium mendatang banyak bergantung kepada kemandirian komuniti teras ini.

Kesarjanaan ilmu

Benarlah firman Allah SWT bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu (Surah Ar-Rahman:33). Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Malah, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologilah maka negara-negara maju khususnya Barat telah menjadi pendominasi dan pelopor kepada pelbagai lapangan kehidupan.

Lebih daripada itu, perlulah disematkan di sanubari bahawa segala label-label negatif yang terpaksa ditelan oleh mahasiswa hari ini seperti mahasiswa lesu, bisu, longlai dan sebagainya hanya dapat ditanggapi melalui tindakan yang positif, proaktif dan progresif. Mahasiswa tidak mampu bergerak mara ke hadapan dengan hanya berbekalkan idealisme dan semangat semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran bagi membolehkan ia direalisasikan dalam arus perdana dunia. Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan cerdik pandai yang terbilang. Jika kita telusuri kisah suci kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, kita akan dapati bahawa di sebalik keagungan kepimpinan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT, maka ilmu pengetahuan yang mampanlah menjadi rahsianya. Malah, sejarah kehidupan sarjana-sarjana Islam masa lampau seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ar-Razi, Jabir Ibn Khayyam dan sebagainya menjadi saksi akan kebenaran pernyataan ini.

Justeru, konsep kesarjanaan ilmu wajar menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap mahasiswa. Apa yang paling penting adalah pembelajaran bukanlah hanya untuk kelulusan peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk mendapat sekeping ijazah sahaja sebaliknya merupakan momentum ke arah memahami erti hidup yang sebenar. Setiap ilmu yang dipelajari wajarlah ditafsir mengikut kacamata ilmiah yang betul. Ini kerana makna kata belajar itu sendiri bolehlah disignifikasikan sebagai suatu proses pembinaan idea, penghayatan dan aplikasi ilmu. Sebagai hasilnya, hakikat akhir sesuatu proses belajar itu mampu menuntun mahasiswa ke landasan kebenaran.

Lebih daripada itu, adalah amat malang sekiranya suatu sistem pembelajaran itu bukan sahaja gagal, malah ianya melahirkan pelajar yang lemah berfikir, kurang kesedaran, ketandusan ilmu, bankrap idea dan muflis keintelektualan. Berbalik kepada mahasiswa di kampus. Salah satu pelan tindakan yang telah digariskan hasil konvensyen baru-baru ini ialah untuk menyelaraskan PNGK semua pimpinan mahasiswa iaitu 2.5 ke atas. Ia merupakan satu langkah awal yang efektif kerana para pemimpin mahasiswa merupakan role-model yang akan diteladani oleh mahasiswa lain. Semoga ia menjadi titik tolak yang akan mencanai kegemilangan pendidikan dalam usaha bersepadu untuk melahirkan universiti bertaraf dunia atau World Class University.

Ketrampilan Sahsiah

Menurut Islam, perkataan pendidikan atau tarbiyyah itu antara lain bermaksud suatu pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar dan teladan. Suatu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika ianya gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana hasil yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan sahaja merugikan tenaga, waktu dan wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa yang dihajati.

Selain kesarjanaan ilmu, konsep ketrampilan syakhsiah adalah satu lagi elemen penting yang perlu ada pada diri mahasiswa dalam mengurus kejayaan. Perangkaan serta statistik kebejatan sosial yang kian meruncing memperlihatkan bahawa kader-kader intelektual ini juga tidak terlepas daripada terlibat sama. Kepincangan dan keruncingan krisis moral seperti seks bebas, arak, sumbang mahram, hedonisme, penyalahgunaan dadah dan banyak lagi turut membuktikan bahawa penuntut institusi pengajian tinggi juga tidak begitu ampuh dari segi penghayatan budinya.

Falsafah Pendidikan Negara menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Merujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara yang merupakan roh, nadi dan dinamo penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan negara, saya melihat bahawa saranan YAB Perdana Menteri ini merupakan satu titik tolak dan satu kesinambungan ke arah melahirkan individu Muslim khususnya muda-mudi, remaja dan generasi muda yang syumul (komprehensif) dan kamil (sempurna).

Usaha yang sebegini penting amatlah perlu untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan masyarakat madani yang diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut amatlah penting agar segala cita-cita murni yang sering dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 mengikut ‘acuan sendiri’.

Kecemerlangan Kepemimpinan

Prof. Ungku A. Aziz pernah menyebut; “Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.” Maka, sebenarnya teras kelangsungan kecemerlangan sesebuah bangsa itu banyak bergantung harap kepada pemimpin berkaliber laksana pelita cahaya yang akan menyuluh-sinarkan lorong perjalanan bangsa dan agamanya. Seorang pujangga Islam pula pernah bermadah; “Pemuda akan menjadi bangsa kita pada masa akan datang. Pemuda jugalah yang akan menyediakan jiwanya untuk mati atau dibunuh mati di jalan Allah s.w.t. Oleh itu, pemuda mesti mempersiapkan dirinya untuk hidup demi untuk mengembalikan kegemilangan Ummah pada masa akan datang sehingga dirinya syahid atau Islam kembali menang!”

Universiti merupakan satu medan atau pusat untuk melatih kepimpinan mahasiswa. Kita telah melihat bagaimana kebanyakan pemimpin negara malah dunia kini termasuk YAB Perdana Menteri juga merupakan bekas-bekas aktivis yang aktif ketika di kampus. Lebih daripada itu, mereka juga merupakan mantan pimpinan kepada pelbagai persatuan pelajar yang sering kali menjadi agen check and balance dan pembawa suara masyarakat yang berkesan. Oleh itu, mahasiswa yang ada hari ini wajar mempertajamkan segala kebolehan kepimpinan sama ada soft skills atau hard skills bagi mengelakkan ketandusan atau kepupusan pemimpin berkaliber di kemudian hari.

Agen Pengislah Masyarakat

Mantan Menteri Pendidikan,Tan Sri Musa Mohamad pernah berkata bahawa pelajar kini diberi kebebasan bersuara dengan syarat ia berdasarkan kepada ilmu dan pengetahuan yang mendalam serta tidak melampaui batas, asalkan ia bukan tuduhan melulu dan dilaksanakan dalam ruang lingkup tertentu. Justeru, mahasiswa harus mampu menjadi pemberi ilham, pencetus penafsiran dan qudwah hasanah kepada masyarakat seluruhnya. Pendek kata mereka harus bertindak sebagai agent of change atau agen pengislah masyarakat. Ini bagi memastikan segala kualiti diperolehi yang boleh menyumbang kepada pembangunan insan tidak hanya ternoktah di titik sifar. Segala pengalaman berharga, teori dan aktiviti membina yang telah dilalui wajar untuk dikongsi dengan masyarakat khususnya muda-mudi dan remaja sebagai pemangkin ke arah pembaikan jatidiri serta penyuluh lebuh raya kehidupan mendatang.

Selain itu, mahasiswa juga haruslah mampu menjadi transformer yang bisa menginjak naikkan paradigma berfikir, meninggikan kualiti ilmu serta memurnikan institusi ulama dan umara. Pelbagai usaha yang bersifat realistik, progresif dan bukan hanya konvensional serta boleh menjadi enkoder ke arah pengharmonian dan pemugaran kembali nilai-nilai murni yang kian sirna dalam masyarakat di seantero pelusuk hari ini. Saya tertarik untuk berkongsi tentang kurikulum yang diamalkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bagi merealisasikan visinya iaitu Islamisasi, Integrasi, Keantarabangsaan dan Kecemerlangan Bersepadu, UIAM telah memperkenalkan pelbagai pakej seperti Sistem Halaqah, mewajibkan penyertaan sekurang-kurangnya 15 peratus pelajar antarabangsa dalam semua aktiviti dan mengaktifkan partisipasi pelbagai pihak dalam setiap persatuan. Selain itu, pelbagai program sama ada bersifat kepimpinan, keusahawanan, kaunseling, khidmat masyarakat, kebudayaan, tarbiyyah, hubungan luar turut dijalankan ke arah melahirkan mahasiswa yang boleh berperanan sebagai pengasuh, petunjuk, pembimbing, pemandu dan penasihat selepas bergraduat.

Perpaduan Warga Kampus

Seterusnya, antara perkara yang telah digariskan oleh Perdana Menteri dalam konvensyen tersebut ialah mengatasi masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sering kedengaran bahawa pencapaian pelajar bukan Bumiputera khususnya Cina adalah lebih terkehadapan berbanding pelajar Bumiputera. Walaupun mungkin pernyataan ini tidak selalunya benar, tetapi langkah-langkah bersepadu perlu diadakan untuk memastikan perubahan minda dan sikap dapat dijana. Terdapat pelbagai mind-set yang penulis rasakan wajar untuk dinyahkan dan dibakulsampahkan oleh pelajar Bumiputera khususnya mahasiswa Melayu. Budaya-budaya negatif seperti spoon-fed, terlalu bergantung – budaya tongkat, pesimis, warga subsidi, sikap sambil lewa, budaya cukup makan, tidak mahu cari lebih, inferiority complex dan seumpamanya haruslah dibuang dari kamus kehidupan mahasiswa. Sebaliknya, sikap-sikap yang baik seperti rajin, berusaha gigih, berkeyakinan diri, berfikiran positif, optimistik dan banyak lagi wajar ditumbuh-suburkan agar mahasiswa Bumiputera dan bukan Bumiputera akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dari segi kelulusan akademiknya.

Semangat Juang dan Kesedaran Ummah

Selain itu, sebagai membuktikan bahawa mahasiswa merupakan mata rantai-mata rantai perjuangan, mahasiswa wajar untuk mengikuti dan memberikan pandangan di dalam segala isu dan perkembangan yang berlaku sama ada di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Semangat juang dan kesedaran Ummah patut diberi penekanan. Usaha-usaha yang mampu menjadi kapasitor pengaktif ke arah kebangkitan bangsa, negara dan Ummah wajar diteruskan. Ini penting untuk melahirkan golongan mahasiswa yang berpandangan progresif dan saintifik serta bersedia menjunjung aspirasi negara dan seterusnya mampu memainkan peranan bermakna di dalam pola politik, sosial dan ekonomi dunia.

Hasrat sebegini amatlah perlu disegerakan untuk mengelakkan lahirnya mahasiswa bersikap jumud dan beku yang boleh mengundang kepada sindrom kejahilan, daya fikir yang sangat kerdil dan sempit serta terkesima dengan arus perubahan di sekelilingnya. Kesedaran tentang perihal Ummah seharusnya menjadi agenda penting ke arah mewujudkan masyarakat yang tidak statik atau terus berteleku di takuk lama. Dinamisme di dalam konservatisme sepatutnya menjadi dasar penting kepada semua graduan masa kini. Di sana sini kita melihat tiada hari yang berlalu tanpa berlaku jenayah kemanusiaan. Perang, kolonialisme, pemerkosaan hak asasi dan penganiayaan terus meronai kehidupan. Perang meletus di pelbagai sudut dunia, kolonialisme cara baru telah dizahirkan, pemerkosaan hak asasi manusia semakin bermaharajalela dan penganiayaan tidak berperikemanusiaan kian berleluasa. Sebaliknya, kesucian dan keluhuran warna-warna indah kemakmuran telah dinodai serta dilacuri semaksimanya. Justeru, di dalam kecelaruan dan kebobrokan masyarakat hari ini, satu transformsi kepimpinan yang lebih telus dan tidak hipokrit perlu dipastikan menguasai dunia. Pentadbiran yang kuku besi lagi keras kepala, ego lagi angkuh serta penindas lagi zalim wajar ditumbangkan. Satu kepimpinan yang memperjuangkan keamanan sejagat, keadilan sosial dan kebajikan rakyat harus dipilih menerajui manusia moden hari ini.

Penutup

Secara konklusinya, di dalam mengurus kejayaan pelbagai aspek yang saling tidak kurang pentingnya berbanding yang lain hendaklah dipakubesikan di benak dan sanubari mahasiswa. Sudah tiada masa untuk kita terus beretorika, bertegang leher dan berkering tekak berkonvensyen tanpa pengaplikasian resolusi menjadi realiti. Ingatlah, jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi yang beraksi di tika ini.

Dipetik daripada http://muhtarsuhaili.wordpress.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

KENALI DIRI DAN KEKUATAN ANDA

Salam 1 Malaysia...

Bagi menyerlahkan potensi diri anda terutama dari segi pelajaran, anda perlu mengenali siapakah diri anda sebenarnya. Langkah pertama untuk mengenali diri anda adalah dengan berlaku jujur pada diri sendiri. Lihat sejauh manakah pencapaian diri anda setakat ini, apa yang anda nak dalam hidup ini dan apakah matlamat hidup yang anda cari.

Semua orang dilahirkan hebat, cuma kadang-kadang tu kita tidak tahu kehebatan diri kita. Terimalah diri anda seadanya. Sesekali muhasabah lah diri, duduk sekejap dan lihat apakah kelebihan yang anda ada. Kita semua mempunyai identiti tersendiri. Lihatlah apa karekter dan sifat diri anda. Apa kekuatan anda, kenalilah sifat-sifat positif yang ada dalam diri anda. Adalah sangat penting untuk kita mengenali siapakah diri kita dan ianya tiada kaitan dengan sifat takabbur. Akui kekuatan dan kelebihan anda dan bersyukur dengan segala nikmat yang ada supaya anda akan mempunyai suntikan semangat untuk terus berjuang mengejar cita-cita anda.

Satu perkara lagi yang sering dilakukan oleh ramai orang termasuk saya sendiri dahulu adalah mensabotaj diri sendiri. Kalau orang lain mengandaikan diri anda, begini, begitu. Itu bukanlah masalah yang terlalu besar tetapi kalau anda sendiri yang menganggap diri anda tidak bagus, anda tidak pandai, anda tak berkebolehan dan sebagainya. Itu adalah masalah. Ingatlah anda adalah apa yang anda fikirkan. Bersedialah untuk menerima kelemahan diri dan berlaku jujur untuk mengakui kelemahan diri anda. Buatlah perubahan untuk memperbaikinya dan huraikanlah simpulan negatif yang anda buat terhadap diri anda.


Suasana persekitaran juga sebenarnya memainkan peranan dalam membentuk dan mengukur nilai diri anda. Lihatlah keluarga, adik beradik dan hiasan yang anda gunakan dalam rumah atau bilik anda. Ia sebenarnya mengambarkan nilai diri anda. Pejamkan mata dan lihat apa yang anda janjikan untuk diri anda. Lihat 20 tahun akan datang, anda nak jadi apa. Hidup ini adalah untuk dinikmati, jadi buatlah analisa terhadap diri anda, sayangi diri anda dan beri input kepada diri anda. Selaraskan rohani dan jasmani anda dan bertekat yang anda mesti berjaya.

Dipetik daripada http://smartz.wordpress.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

KEMAHIRAN BELAJAR

Belajar Cara Sistem PQRST

Sistem PQRST adalah suatu cara yang diperkenalkan oleh EL Thomas dan Ha Rabinson dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In Every Class". Berikut adalah lima item yang menjadi tunjang sistem ini.

(a) Preview ( mengimbas Tajuk-tajuk Penting )
Dalam item ini pelajar disarankan agar melihat tajuk utama dalam sesuatu bab dan seterusnya melihat tajuk-tajuk kecil yang menjadi rangka dalam menggambarkan maklumat atau isi penting dalam keseluruhan bab.

(b) Question ( Menyoal )
Daripada rangka ini, bina soalan yang boleh membantu anda mencari isi penting. Dengan cara ini anda boleh mengingati sesuatu dengan lebih jelas.

(c) Read ( Membaca )
Membaca sesuatu tajuk akan menjadi lebih bermakna kerana setiap ayat menjawab soalan anda sendiri dari rangka topik.

(d) Self-Recitation ( Menyebut Satu Persatu )
Apabila anda sudah membaca, anda perlu mencatat atau melakar sesuatu gambarajah berkaitan dengan apa yang difahami. Kemudian baca isi penting itu semula tanpa melihat nota yang telah anda catatkan.

(e) Test ( Ujian )
Untuk memastikan anda sudah memahami dan mengingati fakta sebaiknya, anda perlu membuat penilaian kendiri. Dua cara boleh dilaksanakan iaitu melaksanakan ujian-ujian tahun lepas tanpa melihat rujukan dan menggunakan teknik soal jawab dengan bantuan rakan.


Rahsia Kejayaan

1. Doa dan Niat
2. Aturkan Sasaran, Cita-cita dan Matlamat
3. Rancangan atau Pelan Tindakan
4. Taat, Yakin dan Cintai Ilmu
5. Usaha yang Berkekalan


Teknik Belajar Berkesan

Kebanyakan pelajar, yang gagal di dalam pelajaran mereka bukan kerana malas ataupun lemah. Mereka sebenarnya menghadapi kesukaran ataupun tidak mengetahui cara-cara mengulangkaji pelajaran mereka.


Terdapat beberapa kaedah yang dapat membantu pelajar-pelajar sebagai panduan.

1. Menyediakan jadual pembelajaran secara sistematik.
2. Rutin belajar yang sama pada tiap-tiap hari bagi melatih otak menerima tabiat belajar.
3. Pilihlah masa untuk mengulangkaji sewaktu semangat belajar di tahap maksimum.
4. Elakkan perkara-perkara yang mengganggu proses pembelajaran. Ahli keluarga harus bertolak ansur dalam memberi ruang untuk anda belajar.
5. Nota yang telah dibuat hendaklah diulangkaji pada hari yang sama.
6. Anda akan mendapat lebih manfaat sekiranya anda mempunyai matlamat belajar.
7. Elakkan belajar di tempat yang boleh menyebabkan rasa mengantuk.
8. Belajarlah dengan tujuan menimba ilmu bukanlah sekadar untuk lulus peperiksaan.


Pelajar-pelajar yang kandas adalah pelajar-pelajar yang :

1. Tidak mempunyai jadual belajar yang tetap dan hanya bergantung kepada "mood" untuk belajar.
2. Tidak suka mengulangkaji pelajaran dan selalu mengulangkaji pelajaran di saat-saat akhir peperiksaan.
3. Mengganggap TV dan lagu dapat membantu memudahkan mengulangkaji pelajaran.
4. Belajar semata-mata untuk peperiksaan.

Dipetik daripada http://satubestarismkadg.tripod.com/

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Salam Maulidur Rasul

SAYA CINTAKAN RASULULLAH S.A.W



PENGENALAN

Rasulullah S.A.W. merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar Rasulullah S.A.W. tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasulNya amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran ataupun al-Hadis S.A.W di antaranya:

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).

Semperna perayaan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. pada tahun 1431 H / 2010 M ini, saya ingin mengajak semua umat Islam untuk mengingati dan menghayati sirah baginda S.A.W. dan seterusnya mengikuti serta mentaati segala ajaran yang telah dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. kepada kita. Tulisan ini sama sekali tidak akan membahaskan hukum menyambut Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. kerana persoalan ini terlalu kerap dibahaskan pelbagai pihak saban tahun dan ia adalah masalah khilafiyyah yang tidak akan selesai hingga Kiamat.


Di sini saya senaraikan beberapa perkara yang mesti kita lakukan sekiranya kita mengaku menyayangi dan mencintai Rasulullah S.A.W.:



BERADAB DENGAN RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah a-Hujuraat: ayat 1).

Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah S.A.W) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).



MENTAATI RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).

Firman Allah Taala bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Surah al-Hasyr: ayat 7).

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah ali-Imran: ayat 32).



BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat Muslim).



MENGASIHI RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat Bukhari dan Muslim).



MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa sysah dan senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasulNya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah).



PENUTUP

Sebagai umut Islam yang sayangkan baginda S.A.W. hendaklah kita mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Ini sahajalah bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah S.A.W. sepenuh jiwa. Akhir sekali, di kesempatan ini pihak iLuvislam.com ingin mengucapkan selamat menyambut Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. 1431 H / 2010 M kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah amalan mengikuti ajaran baginda S.A.W. pada setiap ketika dan bukan sekali dalam setahun.

"I love Rasulullah S.A.W."

Wallahualam...

Dipetik daripada http://www.iluvislam.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

MEMBENTUK TABIAT POSITIF



Sesungguhnya tabiat seseorang itu mempengaruhi tindakan serta prestasi diri sepanjang tahun. Sebagai seorang murid anda harus membentuk tabiat positif di awal tahun lagi agar segala tindakan anda mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Begitulah pepatah melayu yang memberi maksud bahawa sesuatu kesedaran harus berlaku di peringkal awal agar mencukupi masa untuk membetulkannya. Oleh itu bagi diri murid membentuk sikap positif itu haruslah dilakukan sekarang agar ia dapat memberi ruang meningkatkan prestasi diri tanpa berasa bosan atau menggunakan faktor masa sebagai alasan. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti berikut:

• Positif terhadap kesukaran yang dihadapi: Terdapat segelintir murid yang menggunakan alasan bahawa belajar itu amat sukar untuk difahami. Memang betul dalam proses pembelajaran pelbagai kesukaran dan kesusahan akan dihadapi. Menghafal sifir, menghafal formula, mengingati fakta, mencari bahan isi karangan, melakar peta minda, menyelesai masalah matematik dan sebagainya adalah sukar. Walau bagaimanapun murid-murid harus ingat apa sahaja yang dilakukan itu sukar jika tidak dilatih dengan kaedah-kaedah tertentu. Seorang anak kecil amat sukar untuk berjalan tanpa bimbingan dan kaedah yang tertentu yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Oleh itu ingatlah bahawa sebarang kesukaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja dan memerlukan usaha untuk mencari kaedah jalan penyelesaiannya.

• Peka terhadap masa: Masa berjalan dengan begitu pantas tanda disedari. Oleh itu rugilah bagi mereka yang tidak peka terhadap perjalanan masa. Untuk mengelakkan kita menjadi rugi maka seseorang murid harus membuat perancangan masa untuk mengatur aktiviti harian agar ia dapat dipenuhi dengan lebih bermakna. Jadual waktu belajar di rumah, jadual aktiviti kokurikulum, jadual untuk aktiviti rekreasi harus dibina, dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa bertangguh-tangguh. Sifat bertangguh-tangguh seperti bertangguh untuk membuat kerja rumah, bertangguh untuk belajar, bertangguh untuk bertanya adalah diantara punca kepada pembaziran masa. Akhirnya semua kerja tidak beres dan istilah kesuntukan masa dijadikan alasan kegagalan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

• Yakin terhadap kebolehan diri: Allah mencipta manusia untuk mencapai kejayaan. Oleh itu sejak kecil kita dilahirkan sudah difitrahkan oleh Allah iaitu kebolehan atau potensi untuk digunakan sebagai penentu kejayaan. Kebolehan dan potensi ini harus diterokai, dicungkil dan diusaha dengan penuh keyakinan untuk mendapatkan hasilnya. Keyakinan merupakan tenaga dalaman yang mampu menjana minda dan menggerak segala anggota untuk berusaha mencapai apa yang diingini. Seseorang yang tidak yakin terhadap dirinya akan sentiasa mengalah, tidak mahu mengambil bahagian secara aktif dalam sebarang aktiviti serta mudah berputus asa, selalu meyindiri kerana beranggapan dirinya hina jika dibandingkan dengan orang lain

• Berani mencuba untuk kebaikan: Ramai murid berasa malu untuk bertanya atau berasa tersinggug apabila berlakunya sesuatu kesilapan ketika belajar di mana sifat ini harus dikikis dari peringkat awal lagi. Malu bertanya sesat jalan!. Itulah gambaran yang diberikan dalam pepatah melayu yang membawa maksud seseorang yang malu untuk mendapatkan maklumat akhirnya agal menemui kegagalan.

Pembentukan tabit positif ini haruslah diberi penekanan di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai ikhtibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mengapai kejayaan.

Dipetik daripada PORTAL PENDIDIKAN UTUSAN http://www.tutor.com.my

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS